Saturday, May 15, 2004

Ulasan Teater Dia Yang Sepi

oleh sultanmuzaffar

Pada 9 Mei yang baru lalu, Akar Gita Estetika telah selesai mementaskan sebuah teater bertajuk Dia Yang Sepi. Selama hampir sebulan, AGE menjalani latihan untuk mempersiapkan diri di Festival Teater Kuala Lumpur. Pendapat peribadi saya, teater ini ada kurangnya. Hasilnya tidak begitu memuaskan hati saya. Ada aspek yang bagus, ada aspek yang tidak menepati citarasa saya. Yang anda tonton adalah kerja yang dibikin dalam tempoh satu bulan.

Sinopsis
Di mana mana : Berlatarkan cara hidup "anti establishment". Dirinya SEPI dalam pilihan hidupnya. RUANG menjadi semakin luas sehingga tidak dapat menahan SUARA-SUARA isi benak dan nuraninya. WAKTU membawanya singgah dari stesyen ke stesyen mengimbas kumpulan-kumpulan pengalamannya. Realitinya tidak berganjak kemana-mana. SIANG dan MALAM, KEKASIH yang dijodohkan tidak bersatu di bawah lindungan LANGIT. Irama arus dan hala ANGIN mendendangkan SEPI ruang yang ada. Sedangkan DERITAnya itu masih bertapak di kotak rohaninya.

Arahan
Bercerita tentang karisma, beliaulah orangnya. Bercerita tentang kreativiti, beliau juga orangnya. Bercerita tentang pelik, beliau juga orangnya. Apa yang saya lihat, beliau seorang yang tahap kreativitinya di luar jangkaan. Dalam masa yang singkat, hasilnya seperti apa yang telah kita tonton. Suka tidak suka itu lumrah.

Banyak aspek pengarahan yang boleh diperbaiki jika beliau diberikan banyak masa. Hasilnya tidak berapa saya suka kerana kelemahan-kelemahan yang akan saya sebutkan. Selain kelemahan-kelemahan tersebut, saya masih kagum dengan kreativiti beliau. Olahan skrip dibuat dengan daya kreativiti yang hebat. Arahan lakonan beliau tidak menjadi seperti yang dikehendaki.

Skrip sebegini memang sukar tetapi kreativiti telah menyelamatkan skrip ini dari terus menjadi bosan. Potensi skrip ini untuk mengalami sebuah proses evolusi yang positif berada di tangan Pengarah ini.

Skrip
Beberapa kali saya membaca skrip ini. Tidak pernah selesai kerana saya akan melangkau muka surat. Sebuah naskhah yang berat dan bahasanya terlalu berbunga-bunga. Saya tonton sesi latihan. Sama juga, terlalu sarat dengan syarahan-syarahan panjang. Jika silap langkah, ia seperti khutbah Jumaat. Fikir saya, Pengarah perlu melakukan sesuatu kepada skrip ini untuk mencantikkan skrip tersebut. Olahan dan kupasan Pengarah terhadap skrip ini boleh saya anggap berjaya. Beliau ada idea untuk mencorakkan cerita ini mengikut caranya. Baca skrip ini dan anda akan merasai perubahannya. Yang silap pada persembahan ini bukan skrip tetapi lakonan dan penghayatan watak.

Lakonan
Ada yang bagus, ada yang lemah. Adat. Berpasang-pasangan. Seorang pelakon yang sebagai mana hebat sekalipun lakonannya apabila dipasangkan dengan pelakon “kayu” akan sedikit sebanyak menjatuhkan momentum lakonan pelakon hebat tersebut. Berlaku ketidak-seimbangan yang ketara pada pemilihan pelakon dan mungkin juga penghayatan watak.

Watak Satu, Sepi dan Korus
Watak Satu bagus tetapi watak Sepi kurang. Ini merupakan penampilan beliau yang pertama di pentas. Jelas sekali gigilan beliau di pentas. Lontaran vokalnya kasar. Antara lakon dan bukan lakon ada bezanya. Nampak perbezaan ketara antara mereka berdua. Korus (keretapi) bermain dengan gerak tari untuk memberikan simbol keretapi di pentas. Ad-lib mereka masih dapat dikawal. Ada yang bertanya mengapa keretapi. Di dalam bahasa filem, keretapi memberi simbol perjalanan. Pelakon mahu berjalan dari satu titik ke satu titik. Dalam konteks teater ini, pelakon mahu pergi dari kesepian. Itu sebab halusinasi Watak Satu membawa kita menemui beberapa watak yang beliau temui dalam perjalanannya. Dari mana ke mana ?

Bunga ros ? Bercinta ? Bukan. Gila ? Juga bukan. Jika diteliti, adegan bunga ros merupakan adegan penghujung di sebuah alam realiti sebelum penonton dibawa menemui watak Kekasih I dan Kekasih II. Di situlah bermulanya halusinasi Watak Satu. Tatacahaya tidak menjadi. Tidak nampak perbezaan. Ingat ! Halusinasi bukan mimpi. Itu sebabnya Watak Satu masih keluar pada pertengahan antara babak dalam keadaan jaga kerana beliau bukan mimpi. Hanya halusinasi. Watak Satu kembali semula ke alam realiti apabila beliau mengambil semula bunga ros di dalam peti surat itu. Peti surat ? Surat membawa simbol tentang pergerakan dari satu titik ke satu titik. Watak Satu berubah dari sepi menjadi apa ? Ada yang kata gila kerana ketawa mengilai-ilai. Makna simbol stesen keretapi dan peti surat adalah sama, ia membawa kita ke satu tempat yang berbeza.

Watak Satu dan Waktu
Sekali lagi berlaku ketidak-seimbangan pada lakonan kerana perbezaan pengalaman. Ada jurang perbezaan yang agak ketara. Ini merupakan antara babak yang agak membosankan kerana saya tidak faham apa yang ingin dipersoalkan. Antara yang saya ingat adalah “Kau adalah Aku, Aku adalah Kau”. Lepas itu mengilai. Pengalaman Watak Satu benar-benar mengatasi karisma Waktu. Waktu jelas kali pertama muncul membuat persembahan. Beliau nampak kekok dan tidak serasi dengan Watak Satu.

Watak Waktu yang membawa kertas maklumat. Ada maknanya. Beliau seakan-akan menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Itu yang saya suka dengan Pengarah ini. Ada sahaja idea beliau untuk membolehkan penonton berfikir tentang maknanya. Beliau tidak memberi makna teater dengan mudah. Ini bukan teater untuk golongan yang baru mahu berjinak-jinak dengan teater.

Kekasih I dan Kekasih II
Saya suka babak ini. Sebuah gerak lakon yang penuh lengkap dengan perwatakan pelakon. Dari segi chemistry, saya kira hampir berjaya. Mereka cocok menjadi sepasang kekasih. Tetapi sekali lagi penghayatan watak menjadi jurang perbezaan. Watak Kekasih II kelihatan bersungguh untuk menyampaikan rasa hatinya dan watak Kekasih I lebih selamba. Masih nampak dibuat-buat terutama pada gelaknya.

Babak ini menggunakan banyak prop. Sehingga pelakon kelihatan kelam-kabut mengemas sewaktu siren dibunyikan. Jika arahan Pengarahnya teliti, proses mengemas sudah boleh dibuat sebelum siren berbunyi.

Pemikir I dan Pemikir II
Sama juga dengan babak ini. Watak Pemikir I nampak lebih dominan dan watak Pemikir II kelihatan cuba untuk menciptakan karektor kepada wataknya. Hasilnya tidak seberapa. Saya tabik dengan proses transformasi lakonan Mohd Shahafeez. Saya menonton beberapa siri lakonan beliau. Wataknya berbeza-beza. Engku Fikri dalam Mencari Juita dan Takahashi dalam Rumah Kedai Jalan Seladang. Watak yang pelbagai.

Watak Pemikir II mempunyai masa yang pendek untuk menghafal skrip dan menjalani tempoh latihan yang pendek kerana tugas rasmi beliau. Sikap toleransi pelakon-pelakon lain telah banyak menyelamatkan beliau. Beliau harus sedar itu.

Pada penghujung babak ini dan babak Kekasih ada persamaan. Mereka lari. Lari dari apa ? Ia sebenarnya adalah pembebasan dari perasaan sepi ke satu penyelesaian.

Derita I dan Derita II
Watak ini dipegang oleh Watak Satu dan Kekasih II. Mereka punca sepi. Derita itu mereka yang tanggung. Itu sebab mereka pegang dua watak. Saya mengharapkan apa yang telah dipertontonkan di Panggung Seni menjadi di pentas MTC. Sayangnya kurang menjadi. Beberapa aksi-aksi menarik di sana tidak menjadi. Mereka berkongsi masalah yang sama dan saya dapat merasakan itu. Kerut wajah mereka membuktikan.

Ada yang mempersoalkan tentang bangganya mereka menghisap rokok (ganja). Entah di mana silapnya malam itu, pertama kali ia menyala. Jika dapat ditonton kembali, saya ingin sekali melihat watak Derita II terkejut melihat asap terkeluar dari mulutnya.

Mereka juga mahu lari dari kesepian. Di sini, Watak Satu kembali dari halusinasinya.

Tatacahaya
Seperti tahun lepas sewaktu AGE mementaskan Rumah Kedai Jalan Seladang, kali ini sekali lagi tatacahaya tidak menjadi seperti yang diharapkan. Saya amat kurang berpuas hati dengan hasil tatacahaya yang dipersembahkan kepada penonton. Saya sempat mengambil beberapa foto sewaktu tatacahaya sedang digubah sebelum persembahan. Hasilnya menarik tetapi ianya tidak menjadi pada malam persembahan.

Paling ketara tidak banyak yang dapat dibezakan melalui tatacahaya antara halusinasi dan alam sebenar. Stesen keretapi tidak berapa jelas dan sekiranya anda mahu tahu, rekaan lampu untuk stesen keretapilah yang siap paling akhir iaitu pada jam 7 petang. Itu pun saya tidak pasti sama ada ia digunakan atau tidak.

Saya ingin mencadangkan agar di masa akan datang, AGE perlu melakukan sesuatu untuk memantapkan tatacahaya persembahannya. Ini kali kedua. Wajar sekiranya AGE menghantar beberapa pereka tatacahaya untuk menyertai mana-mana bengkel pencahayaan agar ilmu dapat ditimba.

Set
Sebuah set yang simple. Backdropnya sebuah terowong. Itu yang saya nampak. Kenapa terowong ? Sekali lagi terowong ada hujung dan pangkal. Terowong membawa kita dari satu pangkal ke satu penghujung. Membawa apa ? Membawa sepi !

Lantai yang membawa imej bulatan. Dalam bahasa filem, bulatan membawa maksud negatif. Sepi suatu yang negatif bukan ? Cuma kesan tatacahaya yang kurang menyerlah menyebabkan lantai pentas yang bewarna cerah tidak menonjol dan nampak kusam.

Muzik
Seperti yang telah ditulis di dalam brochure Dia Yang Sepi, saya benar-benar terpukau dengan lagu Dia Yang Sepi walaupun baru pertama kali mendengarnya. Setelah beberapa kali mendengar lagu ini diulang-ulang, melodinya seakan telah masuk ke dalam kotak fikiran.

Sayangnya, lagu ini hanya diperdengarkan sekali sahaja sepanjang pementasan dan penonton tidak dapat merasai lagu tersebut dengan lebih mendalam.

Kelemahan ketara pada muzik adalah tidak konsisten. Pada beberapa bahagian pada watak Pemikir Satu, ketukan pada dinding penjara tidak kedengaran. Efek bunyi juga tidak berapa jelas dan memberi impak kepada penonton. Watak Satu terpercik air dari tepi jalan tidak berapa dirasai dan disedari oleh penonton.

Babak yang melibatkan Sepi yang membawakan watak sebuah patung dapat dirasai kerana muzik telah melengkapkan senario tersebut.

Busana/Tatarias
Saya wajar memuji hasil solekan dan busana untuk persembahan kali ini. Pereka busana dan tatarias sebenarnya telah dibebaskan untuk bermain dengan kreativiti mereka. Tanpa perlu terikat dengan kekangan realism, mereka telah bereksperimentasi secara terkawal untuk menjadikan apa yang kita lihat di pentas agak indah.

Rekaan yang dibuat kepada korus (pemegang watak keretapi) saya kira merupakan usaha yang besar. Hampir keseluruhan penonton tidak menyedari yang longgokan baju itu sebenarnya manusia. Cuma jika berani, AGE wajar menjadikan persembahan Kosong oleh kumpulan Ngoncong Sarawak sebagai model. Pemegang watak ukiran kayu berada di pentas sebelum penonton masuk ke dalam dewan persembahan. Tirai pentas tidak perlu ditutup.

Poster/Brochure
Poster dan brochure produksi ini direka oleh saya bersama beberapa orang rakan. Kerja komputer dilakukan oleh saya. Saya berpuas hati dengan hasil poster dan brochure yang siap. Setengah penonton akan menerima jenaka-jenaka sinis yang ada dalam brochure sebagai usaha bangga diri tetapi saya perlu mencari kelainan untuk menyampai maklumat tentang sebuah teater yang berkonsepkan sepi. Saya perlu memberi warna kepada poster dan brochure tersebut. Memberi sedikit keceriaan kepada kesepian yang melanda.

Saya sedar, apabila melibatkan kerja kreatif, idea tidak akan pernah berhenti mengalir. Dari situ lahir sedikit kekecewaan saya apabila yang dikomen adalah jenis font dan bukannya kandungan. Jangan jadi seperti Chief Operating Officer saya yang lebih suka komplen tentang jenis font dari komen isi kandungan.

Kerjasama
Selama berada hampir 1 bulan bersama produksi ini, saya kagum dengan kerjasama yang mereka tonjolkan. Masalah diselesaikan secara penyelesaian kolektif. Dalam kumpulan besar, cakap-cakap belakang di mana-mana pun akan wujud. Macam kata Cookie “Seperti kurang semangat kesatuan di dalam produksi ini. Sebaiknya, penglibatan mereka yang tertentu perlu dititik beratkan. Nampaknya teater ini terlalu percaya dan bergantung kepada keupayaan sang Pengarah!” Jika ada, cakap depan-depan.

Gabungan idea dari dua kepala ini tidak selalu menjanjikan senyuman adakalanya mencipta cuka di bibir.

Idea dan Kreativiti
Sudah cukup rasanya saya tulis tentang kreativiti yang saya rasakan ada pada persembahan ini, cuma masalah skrip yang terlalu berat untuk penonton menerimanya. Macam filem Sembilu dan filem Kaki Bakar. Filem Sembilu tetap mendapat tempat di hati penonton kerana penonton Malaysia tidak gemar berfikir, lebih suka yang ringan. Ini cabaran besar kepada Pengarah.

Disiplin Pentas
Satu yang menarik tentang Festival Teater KL kali ini adalah penekanan tentang disiplin pentas yang semakin dilupakan. Ini wajar dipelajari oleh semua kumpulan yang bertanding agar mutu pengurusan teater dapat diberi suntikan profesional.

Urusetia
Pengurusan Festival Teater kali ini nampak kelab-kabut kerana kesuntukan masa yang diberikan untuk mengurus festival tersebut.

Peraturan ketat cara berpakaian untuk masuk ke dalam dewan juga nampaknya ada double standard. Kelonggaran yang diberikan oleh pihak Urusetia kepada beberapa orang yang tidak menepati cara berpakaian telah disalahgunakan oleh yang lain.

Pengurusan di malam penutup juga nampak goyah. Urusetia bukan sekadar berjalan ke hulu ke hilir membawa walkie-talkie. Tugas mereka lebih besar sebenarnya. Jika cara berpakaian diperketatkan hanya untuk memartabatkan teater Malaysia, maka saya kira cara pengurusan Urusetia juga perlu ditingkatkan agar teater Malaysia dapat dihormati. Bukan sekadar cara berpakaian, tetapi cara pengurusan juga perlu nampak hebat.

Pihak Urusetia sepatutnya lebih peka dengan manipulasi peraturan oleh sesetengah kumpulan yang bertanding sehingga menimbulkan rasa kurang senang peserta. Impaknya agak besar kerana teater seakan-akan boleh dipermainkan dan tuntutan teater sebenarnya lebih besar daripada itu.

Pengalaman
Kesabaran amat penting dalam mengurus sebuah produksi yang mana pemikirannya datang dari dua fahaman berbeza. Saya tidak serik, malah lebih bersemangat !

Ulasan Panel Penilai
Setiap kali Festival, segmen ini memang saya tunggu-tunggu. Antara petikan kata Ketua Panel Penilai ialah kita hanya menonton saingan kita dengan mencari kesalahannya tetapi tidak melihat kebaikannya. Itu Melayu !

“Buruk satu menolak dalam teater, baik satu tidak mengangkat dalam teater.”

Mutu pengarahan perlu ditingkatkan. Adakalanya bahan yang dibawa tidak tertanggung oleh Pengarah. Kebanyakan Pengarah memilih genre pementasan dengan agak kabur.

Pelakon zaman ini jauh lebih baik dari zaman dahulu tetapi mereka tidak diberi kesempatan kerana tunjuk ajar tidak sempurna.

Beliau turut menyarankan agar menonton Seniman Bujang Lapok dan Rashomon sebagai panduan untuk menghasilkan teater komedi dan teater serius.

Tuntutan estetika juga tinggi dan tuntutan estetika penonton juga semakin tinggi.

Keputusan Penuh Festival Teater Kuala Lumpur 2004
Johan – Tat Nenas (Fuzzy Logic Entertainment)
Naib Johan – Oleanna (Kelab Sanggar Budaya Beringin)
Tempat Ketiga – Awal dan Mira (Kelab Teater Kota Kuala Lumpur)
Pengarah Terbaik – Megat Sharizal Mohd Yusoff (Fuzzy Logic Entertainment)
Teknik Terbaik – Tat Nenas (Fuzzy Logic Entertainment)
Pelakon Lelaki Terbaik – Muhamad Ismaizal Yusoof (Fuzzy Logic Entertainment)
Pelakon Wanita Terbaik –Azareena Yahya (Kelab Sanggar Budaya Beringin)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Mohd Azli Othman (Akar Gita Estetika)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Farrah ‘Aini Lugiman (Fuzzy Logic Entertainment)
Anugerah Khas Juri – Dia Yang Sepi (Akar Gita Estetika)
Kumpulan Harapan – Sumpahan Rimba (Act Nine Communication)

Berpuas-hati ? Mana ada pahat yang tidak berbunyi selepas rumahnya siap dibina. Kalau tidak puas hati, cakap. Jangan diam. Paling tidak, tulis dekat blog sendiri apa yang kita tidak puas hati kalau takut untuk berdepan.

Bagi pihak saya, akhirnya teater maha sepi itu memenangi Anugerah Khas Juri dan Mohd Azli Othman menggondol anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Atas kriteria apa Dia Yang Sepi menerima anugerah tersebut tidak diperincikan dalam Ulasan Panel Penilai. Jangkaan saya tentulah kerana olahan Pengarah terhadap skrip tersebut serta keberanian Pengarah mengangkat naskhah tersebut dari dibiarkan tidak dipentas oleh mana-mana kumpulan. Tahniah !

Friday, May 14, 2004

Wawancara bersama Azlan Shan Ibrahim, Pengarah Teater Dia Yang Sepi

Saya mengenali beliau baru tiga minggu. Itulah tempoh masa yang AGE korbankan untuk menyiapkan teater Dia Yang Sepi ini. Ya, tiga minggu ! Saya selaku penonton berpuas hati secara kasar sebelum sesi bedah-siasat dilakukan satu-persatu ke atas produksi teater ini. Sebenarnya saya ingin menemubual beliau sewaktu dalam tempoh berpantang, tetapi memikirkan yang AGE kesuntukan masa saya mendapatkan beliau setelah selesai persembahan. Melihat hasilnya saya kagum dengan kreativiti dan idea beliau mengupas skrip ini menjadi seperti yang telah anda tonton pada 9 Mei yang baru lalu. Bukan calang-calang manusia yang mampu berfikir sedemikian rupa. Saya mengharapkan beliau menjawab soalan wawancara saya secara direct tetapi beliau tetap dengan style beliau lalu mengajak pembaca menjelajah jalan yang sama dengan beliau tanpa mahu memberi jalan singkat kepada anda. Soalan saya beliau jawab dengan pertanyaan. Ikuti wawancara saya bersama manusia bernama Azlan Shan Ibrahim(ASI) atau lebih dikenali sebagai Yan. ASI, bukan ISA !

Di Sebalik Tabir Yan
SM
Ceritakan pengalaman seni teater anda ?

ASI
Teater bermula dengan Pekan Teater 1995-2001. Dari Melaka ke Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur melalui tepi-tepi jalan yang berTOL.

SM
Teater pertama yang anda tonton ?

ASI
Cindai di KBN.

SM
Pelakon yang anda kagumi ?

ASI
Eman Manan, Ida Nerina

SM
Pementasan terbaik anda setakat ini ?

ASI
Patung-Patung

Berkaitan Teater Dia Yang Sepi
SM
Saya kagum dengan kreativiti anda mengolah skrip berat ini menjadi sebuah satira politik. Itu yang saya tafsirkan. Penonton lain tentu mempunyai tafsiran yang berbeza. Ada yang akan metafsirkannya sebagai sebuah cerita kartun, atau sebuah komedi ala Charlie Chaplin dan sebagainya.

ASI
Terima kasih.

SM
Kenapa skrip ini ?

ASI
Susah !

SM
Ada pendapat umum mengatakan teater ini adalah ekspresi politik anda. Jika diteliti pada beberapa babak yang wujudnya simbolisme seakan-akan provokasi politik anda. Komen anda ?

ASI
Based on a true story. Cerita budak sakit.

SM
Ceritakan secara kasar siapakah Watak Satu, Sepi, Kekasih I, Kekasih II, Pemikir I, Pemikir II, Derita I dan Derita II yang ada di dalam kepala anda ?

ASI
Budak-budak spray yang sakit !!!

SM
Apakah perlambangan babak, adegan, set serta mannerism pelakon yang telah dilakonkan oleh pelakon. Contoh menutup mulut sambil mengangkat tangan, babak keretapi, bunga ros, bulatan pada lantai pentas dan terowong pada backdrop.

ASI
Itu semuanya yang biasa terjadi dengan orang-orang sakit. Entah apa-apa style/trademark yang dibuat sebagai pengganti salam.

SM
Idea tidak pernah kering. Sentiasa akan mengalir selagi kita masih berfikir. Terlalu banyak perubahan yang telah anda lakukan sehingga pelakon menjadi keliru dengan watak masing-masing. Komen anda ?

ASI
Dare to be different. Bukan saje tukar atau tambah. Untuk kebaikan jugak. Itupun banyak kali fikir. Semua OK baru OK.

SM
Reaksi penonton agak berbeza-beza berdasarkan taraf pendidikan mereka serta pilihan pendirian politik mereka. Mentaliti penonton teater Malaysia belum bersedia untuk teater sebegini. Komen anda ?

ASI
Takpe, pelan-pelan kayuh. Semuanya proses pembelajaran. Lambat laun Mati ! Atawa Dodadidodi, Tat Nenas, TEJA, LI PO tidaklah dipentaskan ke sekian 18 kali lagi.

SM
Apakah perkaitan di antara babak ke babak kerana setiap babak tiada sekuan dan tiada perkaitan antara satu sama lain. Ia sekan berdiri dengan sendirinya ?

ASI
Salah satu kelemahan pengarah. Gagal menjelaskan semuanya itu daripada HALUSINASI Watak Satu. Halusinasi (skizofenia) tidak berlaku dalam tidur. Ia bukan mimpi, tetapi anggapan, tanggapan dan andaian. Keretapi yang tak nampak itu alat penghubung kepada halusinasi Watak Satu. Apa nak buat kureng le.

SM
Apakah signifikan nombor 18 dalam banyak props dan reka produksi teater ini ? Perlambangan ? Apakah perlambangan yang ingin dimaksudkan ?

ASI
DIA YANG SEPI ni based on true story. Latar sekumpulan geng 18 (budak-budak spray) yang SAKIT.

Tidak ada lambang yang digunakan dalam teater ini melainkan keretapi dan longgok baju. Yang lain tu semuanya true story. Cantik dengan tidak cantik je.

SM
Genre absurd memerlukan teknikal yang mantap untuk menyampaikan mesej penceritaan. Komen anda ?

ASI
Teknikal, cahaya, muzik dan efek sebagai bantuan mengukuhkan teknik penyampaian dan penceritaan. Pelakon kita belum sampai tahap, sehingga tak perlu set, lighting, muzik dan efek untuk berlakon. Belum lagi, lambat lagi. InsyaAllah jika diberi peluang.

SM
Halusinasi Watak Satu kurang sampai kepada penonton kerana apa ? Teknikal atau lakonan ?

ASI
Pertama sekali pengarahan. Untuk bagi jelaskan halusinasi perlu ada pertambahan dan pertukaran sedikit besar/drastik. Dah nampak dah, nak tambah SM bising pulak nanti.

SM
Apakah relevannya Watak Satu dan Kekasih II membawa dua watak ?

ASI
Kedua-duanya menghadapi masalah sama.

SM
Apakah kesalahan yang dilakukan oleh Kekasih I dan Kekasih II hingga mereka melarikan diri ?

ASI
Boleh jadi vandalism, hisap ganja, mungkin juga bersekedudukan.

SM
Salah seorang penonton yang mengikuti perkembangan arahan sauda mengatakan style arahan anda tidak b anyak berubah sejak dulu. Komen anda ?

ASI
Mungkin kebetulan dan keterbiasaan. Bagaimanapun, bagus ada style sendiri daripada mengikut-ikut isme dan style orang lain.

SM
Adakah anda berpuashati dengan hasil teater ini ? Apakah aspek yang anda puas hati dan apakah yang masih boleh diperbaiki ?

ASI
Kerja pengarahan pun aku tak puas hati. Lagikan aspek yang lain seperti lakonan dan teknikal. Apa yang dirancang tak terjadual berlaku.

SM
Pengalaman paling manis sewaktu menyiapkan teater ini ?

ASI
1. Motor bocor 2 kali dalam masa tak sampai ½ jam.
2. Disaman pak polisi.

Terima kasih Yan ! Esok merupakan malam penentuan. Tahniah, budak sakit !

Nota: Ulasan Dia Yang Sepi akan menyusul selagi masa tidak mencemburui saya. Saya akan terangkan ada apa dengan bunga ros, yang mana halusinasi, yang mana bukan, latar yang digambarkan oleh ruang lakon, stesen keretapi, bilik, ruang tamu rumah, konsep tatacahaya dan beberapa aspek yang perlu saya terangkan.

Thursday, May 13, 2004

Technical Rehearsal di Panggung Seni UKM
Tenaga Produksi Dia Yang Sepi dan Majlis Tertinggi Akar Gita Estetika ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pusat Kebudayaan UKM kerana sudi membenarkan kami menggunakan premis mereka Panggung Seni untuk sesi "technical rehearsal".

Sewaktu "technical rehearsal", pereka tatacahaya berpeluang untuk menguji tatacahaya yang bakal digunakan untuk pementasan sebenar. Tidak banyak yang dapat dibuat tetapi sekurang-kurangnya pelakon berpeluang untuk merasai kesan sebenar ruang lakon di atas pentas.

"Mock-Up props" didirikan sekadar suggestive set agar pelakon dapat menyesuaikan diri dengan tempat keluar masuk ke ruang lakon.





















Hasil Akhir Busana dan Tatarias










Wednesday, May 12, 2004

Di Sebalik Pembikinan Teater Dia Yang Sepi
oleh http://sultanmuzaffar.blogspot.com

Bahagian ini akan memaparkan shot pembikinan Teater Dia Yang Sepi. Tenaga Produksi telah dijana untuk menyiapkan hasil teater ini ke pentas. Dari pereka busana ke pereka tatarias, dari pemuzik ke tukang buat props, semuanya telah bekerjasama dengan baik untuk teater ini. Artikel ini penting untuk tujuan dokumentasi pembikinan teater ini.

Bahagian seterusnya akan dipaparkan shot pada malam pementasan. Ulasan teater Dia Yang Sepi akan dilampirkan bersama. (Mungkin ada 2 bahagian) Ia berkisar tentang rasa hati saya mengenai teater ini.

Bahagian akhir akan memaparkan hasil post-mortem teater ini. Ada cerita suka, ada cerita duka, ada cerita cemburu, ada cerita cinta. Seperti penamat Survivor All-Star, teater Dia Yang Sepi turut mempunyai kejutan.


Backdrop sebelum ditegakkan !

Keletihan menyiapkan lantai pentas

Memastikan backdrop tegak kukuh !

Kerja menjahit di saat-saat akhir

Persiapan tatacahaya

Mengecat backdrop

Bahan Uji untuk test tahap cahaya

Main pakau ! Adakah ini termasuk dalam peraturan disiplin pentas ?

Busana telah siap diatur sebelum pementasan bermula

Persiapan tatacahaya

Penyesuaian alatan muzik

Tatacahaya Fantasi

Persiapan tatacahaya

Props telah siap disusun di tepi pintu masuk

Pemasangan poster-poster provokasi

Tatarias

Keretapi Misteri

Run Through

Run Through